Assalamualaikum..
Dah hampir seminggu aku rasa tak menentu. Sedih, marah, merajuk, geram. Ye, mungkin faktor hormon orang perempuan. Biasalah tu. Cuma kali ni, aku rasa sedih yang amat. Tiba-tiba, aku rasa macam putus asa dengan semua yang aku sedang lalui sekarang. Aku penat. Kecewa dengan layanan orang terhadap aku. Expectation. Ya. Ibubapa punyai expectation yang tinggi terhadap anak-anak. Mereka rasa, bila anak-anak dah kerja, dah ada duit sendiri, mereka mampu untuk memberi apa saja yang ibubapa inginkan..
Aku teringat masa sebelum aku mula bekerja dahulu. Masa di mana aku berhempas pulas mencari rezeki untuk menyara kehidupan di kotaraya ni. Aku memang orang susah. Menyendiri di satu dunia yang penuh dugaan dan pancaroba. Kalau aku tak kuat menempuh dunia yang begini, aku akan mati. Tewas dalam kekejaman manusia. Adanya aku sekarang ni, bukanlah disebabkan betapa kuatnya aku dalam menempuhi dunia yang tak mengenal erti susah, tak mengenal erti kemanusiaan. Adanya aku sekarang ini, adalah disebabkan oleh pertolongan dan perlindungan yang diberikan oleh Sang Pencipta. Dia lah yang telah menjaga aku, memberi aku kekuatan luar biasa selama hampir lapan tahun aku di sini.
Aku pernah menghadapi pelbagai dugaan. Aku pernah diganggu dan dikasari oleh pendatang asing yang cuba mengambil kesempatan. Aku juga pernah dipukul oleh manusia yang kononnya menyayangi diri ini. Aku pernah dicemuh, dihina kerana tidak punya wang. Mengharap belas ihsan orang lain. Aku pernah, dalam mengharungi liku-liku hidup sebagai seorang pelajar yang hanya mengharapkan wang pinjaman ptptn, dicaci maki kerana tidak mampu untuk memberi belanja kepada ibubapa di kampung. Malah, masih meminta jika sudah tiada apa. Aku tahu, masih ramai di luar sana yang hidupnya lebih susah dari aku. Ya, masing-masing punya cerita. Ini cerita aku.
Pegangan aku pada masa itu cuma satu. Aku tekad, aku akan buktikan pada mereka semua yang aku akan beri apa yang mereka mahukan. Aku belajar siang dan malam agar aku dapat keputusan yang cemerlang. Saban hari, dalam terang ataupun gelap. Dalam tangis dan ketawa, aku menyendiri. Aku sabar. Hari demi hari aku jadi lebih kuat. Aku tak peduli apa orang kata. Mereka bukan aku. Mereka tidak kenal siapa aku. Aku lakukan semua ini, bukan kerana aku mahu. Tapi kerana itu sahaja peluang yang aku ada. Belajar, atau aku hidup merempat.
Pada masa itu, aku bukanlah seorang perempuan yang ingat Tuhannya setiap hari. Aku tak solat. Aku puasa, tapi aku jarang solat. Aku hanya berdoa di waktu-waktu tertentu. Pada aku, masa itu Allah ada di hati aku. Kadang-kadang, bila aku bersendirian, aku akan tanya diri aku, kenapa aku tak macam orang lain? Kenapa aku tak solat? Kenapa aku malas? Aku tak ada jawapannya. Tapi, satu hari. Aku terfikir.. Kenapa aku boleh berjaya? Kenapa aku boleh mengharungi kehidupan yang sukar ini seorang diri? Lama kelamaan, aku rasakan bahawa semua ini datang dari Allah. Dia tahu niat aku datang jauh-jauh, belajar teruk-teruk untuk apa. Perlahan-lahan ia mendekatkan aku pada Dia. Walaupun telah banyak dosa yang aku lakukan, Dia masih melindungi aku. Membekalkan rezeki untuk aku nikmati di dunia ini.
Sehinggalah aku rasa aku mampu memberi wang perbelanjaan kepada ibubapa di kampung. Mula dengan RM100. Kemudian meningkat, dan meningkat lagi mengikut jumlah kenaikan gaji yang aku terima. Sehinggalah sekarang.. Aku tidak pernah gagal memberikan mereka apa yang aku dapat. Hasil titik peluh aku siang dan malam bekerja.
Namun.. Dalam pada aku memberi, tidak sekalipun aku mengharapkan apa-apa daripada mereka. Cukuplah ucapan terima kasih dan doa untuk aku. Kenapa? Kerana aku kini dalam keadaan yang semua orang tidak tahu. Semua orang tidak nampak. Ya. Aku masih seperti dulu. Pergi kerja, balik kerja, jumpa kawan-kawan. Pada dasarnya, semua nampak elok. Semua nampak biasa. Tapi..
Jauh di sudut hati kecil aku ni, aku sedih. Aku kerap menangis mengingatkan semua peristiwa yang terjadi. Aku mengharapkan mereka memahami keadaan aku. Sudah aku jelaskan mengapa aku jadi seperti ini sekarang. Tapi, aku silap. Siapalah aku untuk mengharapkan belas ihsan orang lain, walaupun daripada keluarga sendiri. Tiada siapa yang mendengar. Tiada siapa yang memahami. Apa yang aku harapkan daripada orang-orang yang aku sayang, semuanya sia-sia. Aku jadi bersalah. Aku jadi punca. Orang kata, wang bukan segalanya. Kebahagiaan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Benarkah? Mungkin itu cuma pada pandangan aku sahaja. Pada pandangan orang lain, wang adalah segalanya. Kau miskin, kau duduk di bawah. Kau tak mampu memberi duit, kau diketepikan. Dihina dan dikeji. Untuk kali keberapa aku pun tak pasti.
Mudahkan? Aku pernah berada di bawah. Kemudian aku bangun naik ke atas. Aku kuat dan semakin kuat. Tapi.. Sampai satu masa, aku jatuh. Masa tu, tidak ada tangan-tangan yang menghulurkan bantuan. Aku kecewa. Aku menangis sepuasnya. Aku rasakan dunia yang aku hidup sekarang menentang aku. Membalas semuanya pada aku. Aku rasa aku tidak punya apa. Keluarga, bahkan si dia. Terlalu berat beban yang ada di belakangku sekarang. Aku seperti tak mampu untuk menampung beban tersebut. Semakin hari, aku jadi semakin lemah. Semakin tertekan. Aku hanya mampu menangis, menangis dan menangis. Seperti sekarang. Di mana semua orang tatkala aku jadi macam ni?
Aku hanya mampu senyum dan ketawa di hadapan semua. Aku pandai berpura-pura bahagia. Hakikatnya, hanya Allah yang tahu. Dia yang menjadi pendengar setia aku. Dikala aku pulang ke rumah dalam kegelapan malam, Dia lah yang menemani aku. Di kala aku memerlukan pujukan, Dia jugalah yang memujuk aku. Dan dikala aku mencari kekuatan, Dia lah yang memimpin aku. Dia tahu siapa aku. Dia tahu kelemahan aku.
Aku tak mengharapkan orang-orang di sekeliling aku untuk memahami aku. Aku tahu. Semua itu sia-sia. Aku sudah cukup terkilan dengan mereka semua. Aku akan mencari kebahagiaan aku sendiri. Aku akan berusaha selagi aku mampu. Selagi aku punya kekuatan. Pada kamu semua, yang telah menitiskan airmata aku. Yang telah banyak menyakitkan hati aku. Membuat aku sedih.. Aku mendoakan yang terbaik untuk kamu. Jangan sekali-kali kamu semua rindukan aku bila aku tiada nanti. Aku ingat semua yang telah kamu lakukan. Terima kasih kerana menyedarkan aku.