Sunday, November 26, 2017

Sekarang apa?

Assalamualaikum,



Mengapa.

Satu perkataan yang seringkali terungkapkan di bibir itu. Satu pertanyaan yang membutuhkan seribu jawapan.. 

Semuanya bermula selepas tarikh keramat itu. Hari di mana jiwanya mati. Sejak itu, hidupnya kosong... Jiwanya penuh dendam, amarah dan benci.. Dia tidak lagi menguntum senyum yang ikhlas, malah sering saja membuat satu demi satu kesilapan.. Marahnya pada takdir telah menyebabkan jiwanya hancur, hidupnya terumbang ambing... Tidak lagi berjalan dengan lurus.. Ya, jalan yang lurus yang seringkali didoakan itu, tidak ternampakkan oleh mata hatinya... Bencinya dia pada manusia semakin membuak-buak.. Setiap manusia itu telah melakukan kesalahan terhadap dirinya, terhadap cintanya, terhadap jiwanya.. 

Mengapa.

Hingga kini dia masih bertanya. Mana jawapannya? Mana jalannya? 

Kesilapan itu, 

Telah menghancurkan seluruh hidupnya.. Dia adalah manusia paling hina di mata manusia yang lain. Salahnya dia, hanya kerana dia mengikut kata hatinya.. Satu demi satu ditunjukkan. Setiap hubungan yang cuba dicipta, mempunyai pengakhiran yang membawa bencana. Sial kah dia? 

Mengapa. 

Tidak dibiarkan dia menjalani kehidupannya sendiri.. Dia hanya ingin menjadi manusia normal. Berhibur, bersenda gurau, bekerja, dan menikmati hari-hari yang membawa cahaya.. Manusia mudah menelaah. Mudah menghukum tanpa usul periksa. Kerap terjadi walau di mana dia pergi. Satu baris ayat yang diungkapkan boleh menghancurkan segalanya. Dia dihukum kerana percaya. Sehinggakan dia tidak lagi mampu untuk bangun, mampu untuk menampung segala kedukaan yang semakin membenam di dasar hati...

Menangis lagi. Terus terusan membazirkan airmata itu... Untuk apa? Untuk siapa?? 

Dia di sana tidak lagi mempunyai apa-apa pertalian denganmu, sayang.. Biarlah dia hidup di dalam dunianya sendiri. Kau teruskan berjalan. Mengapa kau masih memandang di belakangmu?? Mengapa perlu kau memikirkan perasaan semua orang? Mengapa?? Hidup kau semakin hancur, sedarkah kau?? 

Cukup cukuplah menghukum diri.. Pergilah.. Pergi cari ketenangan itu.. Jangan difikirkan lagi tentang manusia - manusia itu. Cukuplah mereka menyeksa batinmu.. Cukuplah mereka menghiris perasaanmu.. Kau tak salah. Kau tak salah... Percayalah.. Cukuplah meletakkan salah itu didadamu.. Sampai bila?? 

Ya,

Aku menghukum diri kerana aku punca kepada semua permasalahan yang terjadi.. Semuanya berpunca dari aku.. Satu demi satu ditarik jauh dari aku sehingga aku tiada apa... Tiada siapa.. Aku penyebab segalanya.. Kesilapan itu datangnya dari diri aku sendiri.. Masakan aku perlu menuding jari ke arah orang lain? Adilkah itu? 

Sekarang apa? 


Thursday, November 23, 2017

Cinderella dan Putera

Assalamualaikum,



Dia itu,

Kini tercari-cari, 

Di mana si putera yang sering memanggilnya "Cinderella" ? 

Juga dia tertanya-tanya,

Adakah si putera itu masih dengan kata-katanya yang teguh 
"I'll be there with my sword and armor"?

....

Tercari-cari dia sendiri,
Tertanya-tanya dia sendiri... 



Wednesday, November 15, 2017

Bukan.


Assalamualaikum,

Dalam pada dia menyaksikan kekecewaan dan kesengsaraan sekeping hati seorang manusia yang lain, kegilaan manusia tentang hidup, cinta, curiga, ghairah dan nafsu, dia terlupa bahawa dia adalah punca. 

Bukan, 

Bukan terlupa, tapi tidak peduli. Tiada rasa sangsi. Tiada rasa menyakiti. 

....apa yang dia rasa, hanya ingin disayangi.

Adakah dia pentingkan dirinya sendiri? Atau dia terlalu naif, cuba menutup mata hati untuk menyedari bahawa semua ini hanya fantasi? 

Apa yang hanya fantasi?

..... impiannya.... 

Kegilaannya untuk mengecapi nikmat bahagia...

Kebutuhannya pada si dia..

Kesanggupannya untuk merasai detik-detik indah, bayangan syurga dengan si dia... 

Syurga yang sering dibayangi... nikmatnya hanya dapat dikecapi, bukan di sini...

Bukan di dunia ini... 

Bukan dalam hidup ini... 

Bukan juga... Jikapun ada, jikapun dia layak, di sana nanti... 

Syurga yang sering dibayangi itu, tempatnya, bayangannya, keindahannya... Cuma dalam mimpi...

....

Entah apa yang dia rasa kini...

Entah apa yang dia inginkan kini...

Entah apa...

Entah apa yang bakal terjadi...

Telah dia hadapi pelbagai sandiwara manusia-manusia durjana, hingga dia makin jauh.. Makin jauh dari realiti.. Jauh dia merentasi tapak-tapak berduri yang bisa merekahkan tanah bumi, bisa juga menggegarkan setiap inci tubuh bumi...  Hingga dia terlupa, setiap titisan merah yang menyelaputi kulitnya, tidak lagi terasakan.. Tidak lagi menjadi satu paranoia... Atau ilusi, di setiap kaca mindanya...

Bleghhh!! Betapa dahsyatnya dunia ini melayannya... 

....

Lucu,

Ironinya sebuah kehidupan...

Percaya kepada penipuan,

Ragu kepada kejujuran,

Benci kepada nikmatnya dugaan...

Hanya kerna apa?

Kerna apa???

Kau sendiri punya jawapan..


Dan ini... Kau tolong aku jawabkan... 



Monday, September 25, 2017

Di lapangan paling luas...

Assalamualaikum,


Sepi dalam kebingitan suasana.
Rapuh dalam keutuhan tegapnya dahan.
Tangan yang semakin lebar kepaknya cuba menjangkau apa yang terlindung di atas..
Namun dibatasi mata yang kosong, dalamnya cuma gempita...
Sembunyi dalam hiruk pikuk kota, saat tenggelamnya segala perasaan yang ada..
Semakin menyesakkan dada, semakin membingitkan deria rasa..
Dan di situ,
Bertebaran rasa di lapangan paling luas..
Cuba dikutip, satu demi satu..
Dengan titisan airmata yang turut mengikuti setiap jejak langkah,
Di lapangan paling luas itu...

Meraung,
Meraung dalam diam...
Bertempik dalam kebisuan malam..
Hanya dia dan waktu,
Yang takkan pernah mundur, walau seketika..
Hanya dia dan bayang-bayang,
Yang takkan pernah hilang, senantiasa membaluti tubuh yang hina,
Mengekori setiap langkah, satu demi satu.. Dalam jiwa yang jauh ketinggalan..

Hati cuba memujuk,
Hati cuba berbicara, bahwa perasaan yang ada itu bukan kepunyaanmu,
Walau kau cuba menafikan,
Walau kau cuba menidakkan,
Sehingga kau mengiyakan,
Bahwa dirimu, hatimu, niat sucimu...
Hanya ibarat kapas basah,
Yang beratnya menakung air,
Namun tidak bisa menjadi tadahan...

Prejudis itu aku,
Hipokrit itu kita.
Ironinya, aku dan kita..
Adalah satu.

Teruskan berjalan dalam kebingitan suasana,
Dalam puluhan manusia yang bertempik, memekik dalam khayalnya dunia,
Biar satu saat,
Kita akan rasa..
Dalam kebingitan itu,
Tersimpan segala rahsia..
Seribu noda,
Sejuta kata,
Secebis rasa..
Hanya dia dan bayangannya..
Dalam kesepian menunggu pengakhiran..

Dan dia kembali mengutip satu demi satu,
Cebisan sisa rasa yang tinggal.
Dalam lapangan paling luas..

Tuesday, June 6, 2017

Hanya sementara


Assalamualaikum,

Sudah sepuluh hari dia menjalani ibadah puasa bersendiri. Alahai, apalah sangat.. Itupun nak jadi isu ke? Ya. Sememangnya ia satu isu yang rumit. Kerana dia tidak ingin bersendiri. Hakikatnya, jauh di sudut hati, dia tidak ingin bersendiri. Demi Allah. Dia sangat berduka setiap kali tibanya waktu berbuka puasa. Sangat berduka. Sangat sakit. Ya, ini cuma ujian. Cuma sementara. Dan dia akan laluinya seperti biasa. Tapi, mengapa, masih begitu? 

Di saat semua orang disekelilingnya bersama keluarga, meraikan waktu yang amat berharga, mengapa dia sendiri? Hanya melihat, dengan rasa cemburu, sedih dan bingung. Alangkah bahagianya mereka. Alangkah seronoknya menikmati waktu-waktu yang ada bersama yang tersayang. Alahai... Kenapa mesti berduka wahai hati? 

Dia rindu. Amat rindu. Waktu-waktu berterawikh. Waktu-waktu berebut-rebut mengambil wuduk, mengejar waktu Solat Isyak.. Duduk berteleku di atas sejadah bersama-sama umat yang lain. Memandang tubuh di hadapannya. Sayu hati. Damai hati melihatnya. Dia rindu. Amat rindu. Pernah suatu ketika dulu, ketika dia sedang solat berjemaah, menunggu waktu Isyak, dilihatnya sesusuk tubuh di hadapannya sedang menunaikan solat.. Berdebar-debar rasa dalam hatinya.. Terdetik dalam hati dan berkata "itukah jodoh"? 

Kini, dia hanya dapat melihat, melihat semua yang ada di hadapan matanya, sambil menitiskan airmata.. Bingung memikirkan apa yang telah terjadi. Seperti kehilangan sesuatu yang amat mahal. Sayangnya dia tidak dapat berbuat apa-apa.. Dia lemah. Dia tidak berdaya.. Dia hanya mampu berkata "semua ini hanya sementara".. Ya, hanya sementara.. 

Menangis lagi. Entah ke berapa kali. 

Tuesday, May 16, 2017

Rajuk

Assalamualaikum,


Salahkah kalau merajuk untuk seketika? Rajuk yang manja. Bukan rajuk yang berdendam. Cuma inginkan perhatian. Perhatian yang telah lama diabaikan.. Salahkah?

Tapi... siapalah dia untuk layak meminta minta perhatian sebegitu rupa? Dia bukan siapa-siapa... Dia cuma diperlukan apabila mereka memerlukan. Dan dia cuma akan diberi perhatian kalau dia bersungguh sungguh menagih kasih dari mereka. Nak kata merajuk? Langsung tak boleh. Nak kata mengadu? Jauh sekali..

Dan kerana itulah, dia lebih suka menyendiri. Menyimpa segala isi hati. Hendak diluah, jauh sekali. Malah, sukar baginya untuk mengadu apabila mereka sepertinya enggan mendengar. Ya, ada lagi cerita yang lebih seronok untuk didengar, tapi bukan sekali mengenai dia, dan apa yang dia rasa. Dia hanya menjadi tempat melepaskan rasa kecewa, dendam, marah dan sedih mereka.. Dan akhirnya, dia simpan semua...

Kadang-kadang dia ketawa sendirian. Bertubi-tubi aduan yang diterima. Hal itulah, hal inilah. Marah itulah, marah inilah. Macam-macam. Dan dia hanya mendengar dengan penuh setia tanpa sedikitpun dia menghalang mereka daripada berbicara..

Tapi, mengapa dia tidak diberikan layanan yang serupa? Mengapa apabila tiba saatnya, dia seperti diabaikan sedemikian rupa? Dia cuba untuk berfikir secara positif. Mungkin kerana dia seorang yang dilihat paling tabah dan tidak bermasalah dalam kalangan mereka, maka sebab itulah mereka rasa dia tidak punya duka. 

Tapi, mengapa tiada seorang pun dari mereka yang bertanya? Kerana, jika mereka bertanya, sudah pasti dia akan bercerita sepenuh hatinya.. Segala duka, luka dan sengsara akan dia luahkan, kerana pada dia... Mereka adalah darah dagingnya.. 

Tak mengapa.. Dia sudah biasa. Sekali lagi, dan untuk selamanya.. Segalanya hanya dibiar ditanam jauh-jauh dalam sudut hati agar suatu hari nanti, apabila dia sudah pergi, kehilangannya tidak dirindui, malah tidak diingati...




Sunday, May 7, 2017

Hanyut

Assalamualaikum,


Jenuh dia berfikir. Kadang kala dia bercakap sendirian sambil tangan memegang kotak putih. Jenuh dia cuba menepis segala macam hasutan dan kata-kata yang memujuknya melakukan itu dan ini. Untuk sedapkan hatinya, dia pejam mata. Dia bayangkan yang indah-indah belaka. Laut, contohnya... Dan dia cuba merasai dan menikmati pemandangan yang berada di dalam bayangannya. Cantik...

Macam mimpi... Semuanya secara tiba-tiba. Aneh. Seperti cuba melepaskan sesuatu yang terbuku selama ini. Seperti juga, mencurahkan sesuatu.. Rasa mungkin? Rasa yang sekian lama terpendam. Atau mungkin, rindu? 

Mana mungkin semuanya berlaku dalam sekelip mata. 

Yang pasti, dia hanyut di dalam bayangan yang kini bermain dimindanya... Walau dia tahu, itu cuma angan-angan... Atau khayalan... Atau permainan... Semuanya makin tidak pasti. Namun dia merelakan hatinya, kerana dia leka dalam bayangan... Hanya dia, laut dan kotak putih... 


Sunday, April 30, 2017

Sakura jumpa Tun Siti Hasmah

Assalamualaikum,


Sakura sangat bertuah pada 28.4.2017 yang lalu sebab dapat jumpa Tun Dr. Siti Hasmah Hj Mohamad Ali secara dekat dan dapat peluk cium beliau walaupun sekejap. Sekian lama menanti, akhirnya peluang itu muncul juga. Tak dapat digambarkan perasaan tu macamana. Hanya orang yang berada di sekeliling aku masa tu je yang tahu. Nak tergelak bila ingat balik. Adui, yanie, yanie. Perangai memang tak pernah berubah. Lepas habis sesi peluk cium semua tu, terus kena bahan dengan semua. Redha je larrr... 

Tun Siti adalah seorang Rawanese, sama seperti aku. Makanya, aku rasa seperti dekat, walaupun kami tak pernah mengenali satu sama lain secara peribadi.. Walau apapun, aku bangga kerana kami dari keturunan yang sama. ;) 

Apa pun, terima kasih lagi sekali pada En. Haniff dan Fahmi sebab sangat supportive dan yang paling penting, sangat memahami dan sporting. Tanpa mereka, mungkin aku takkan jumpa kedua -dua Tun kesayangan Negara.. Sayang korang! 

Akhir kata, nah gambar kenangan ;) 






Sunday, April 23, 2017

Jangan tanya




Assalamualaikum, 




Sedang terluka, dan cuba untuk sembuh. Jangan tanya aku kenapa, aku tiada jawapan untuk itu. 

Mundar mandir

Assalamualaikum,


Sudah dua kali Ahad dia begitu. Sudah dua kali Ahad juga dia cuba untuk menenteramkan hatinya dan cuba untuk menerima bahawa semua ini benar. Bukan halusinasi. Bukan mimpi. Bukan imaginasi. 

Dia ke sana, dia ke sini.. Dia pandang di balik tirai, tiada. Tiada siapa. Mundar mandir dia sendiri, sambil ditarik tarik rambut yang kusut, tiada seri. Dia pandang ke atas.. Dilihatnya cuma putaran kipas yang laju, angin yang kuat dari balik tirai, menerbangkan serbuk serbuk putih hitam yang memenuhi mangkuk kaca. 

Dia kembali pandang ke atas. Apa yang dilihatnya tidak tahu. Tapi matanya, bola matanya masih memandang kipas yang berputar laju itu. Sambil jarinya menepis sesuatu. Sesuatu yang jernih, yang laju seperti putaran kipas, mengganggu pandangannya. Ah, apakah ini? Tidak bosankah kau asyik menggangguku? Ya, bagiku itu satu gangguan. Aku ingin menikmati pandangan di atasku, mengapa kau mengganggku?? Kacau. 

Sudah puas dia menikmati pandangan di atasnya, entah. Entah apa yang dia lihat. Tapi setelah dia puas, dia bangun. Mengambil kotak berwarna putih yang berada di sebelah baringannya. Lalu dia buka kotak itu. Fikirannya kembali tenang tatkala mengambil sesuatu dari kotak itu. Dadanya yang berombak laju, kini kembali tenang. Air jernih yang mengganggunya tadi, kembali kering. Ah, ini yang dia mahukan...

Lalu dia kembali mundar mandir, ke sana, ke sini.. Sambil memegang mangkuk kaca dan kotak putih di tangannya.. 

Inilah peneman dia kini... Sebagai ganti...

Wednesday, March 29, 2017

Lari dari mimpi...

Assalamualaikum,


Kau menjauh, menyepi dan menyendiri. 
Kau lari dari semua yang kau kenali. 
Kau berhenti dari menyayangi dan menyintai. 
Kau cipta satu rasa yang tidak pernah kau ingini. 
Kau hanya ingin.. LARI... 

Sudah hilang rasa untuk bermimpi. 
Mimpi yang indah itu sudah lama pergi. 

Sudah hilang rasa untuk menikmati cinta.
Cinta yang indah itu sudah tidak bernyawa.

Sudah hilang rasa untuk bahagia.
Kerana derita itu sudah sebati dengannya.

Aku terima segala ketentuanNya.
Aku terima segala dugaanNya.
Kasih dan sayangku, hanyalah untukNya.
Tiada lagi untuk yang bergelar manusia. 

Jauh sudah perjalananku.. Meniti setiap hari hari yang berlalu.. Aku berjalan, kemudian aku rebah. Aku bangun, aku kuatkan langkah. Kemudian aku rebah semula. Ada ketika, kakiku tidak mampu untuk berjalan lagi. Ada ketika, aku tidak mahu. Aku tidak mahu berjalan. Tapi aku bangun juga. Bukan untuk kau. Bukan untuk sesiapa. Aku bangun, berjalan, hanya untuk Dia. Kerana tanpa izinNya, aku tidak boleh berhenti. Berhenti dari berjalan..

Tiada lagi inginku. Tiada lagi harapku. Tiada lagi tempat bergantungku. Aku kini sendiri. Meniti hari hari yang menanti. Masa itu tidak pasti. Masa depan kabur sekali. Sudah aku katakan, sudah hilang rasa untuk bahagia. Kerana derita itu sudah sebati dengannya. Bahagia dan derita itu adalah satu. Satu dalam diriku. 

Keliru aku, tiada siapa yang tahu. Tiada siapa yang cuba tahu. Kerana tiada izinku. Tidak lagi. Apatah lagi, kini. Atau nanti, 

Inginku, juga begitu. Hanya Dia yang tahu. Kerana dia Penciptaku. 

Jangan tanya aku, kenapa aku begitu. Jangan beritahu aku apa yang aku perlu tahu. Sudah aku katakan, aku cuma ingin lari.. Bukan lari dari realiti, tapi lari dari mimpi. Mimpi yang sering aku nikmati. Kini tidak lagi aku ingini..




Wednesday, March 8, 2017

Sakura jumpa Tun M.

Assalamualaikum,


Jadi, haritu aku ada jumpa Tun M. Pertama kali, di usia 30 tahun. Bangga? Semestinyalah. Alhamdulillah. Dapat jugak jumpa Tun, tengok dia depan-depan. Dan yang paling penting, dapat selfieeee! Thanks to Encik Haniff Khatri sebab dia telah merealisasikan impian saya untuk tengok Tun. Love you En. Haniff! 

Nah, gambar kenangan ;) 






Tata! 

Had dan batas kesabaran

Assalamualaikum,


Kesabaran seseorang itu ada had dan batasnya. Kita ini manusia. Kita bukan Nabi. Kita bukan maksum. Kita ada pelbagai jenis rasa dan perasaan. Kita boleh marah, sedih, gembira, malah boleh campur kesemuanya dalam satu masa! (Ok, itu mungkin tak ramai yang boleh buat). Pokoknya, setiap apa yang kita lakukan setiap hari akan memberi efek dan kesan terhadap emosi. 

Kalau kita selalunya cool, tak pernah nampak marah, nampak rasional dan bertolak ansur, kau orang ingat, dia tak ada perasaan marah, sedih atau kecewa ke? Jangan disebabkan sifat dia sebegitu, kau orang senang-senang nak ambil kesempatan. Oh, kau kan lawyer. Kena bersabar dengan kerenah klien. Kena sentiasa kawal perasaan, jangan tinggi suara, jangan marah, jangan buat muka. Kau kena sentiasa lemah lembut dan cakap baik-baik dengan mereka. Hei manusia! Kau orang ingat, lawyer ni makhluk asing? Kau manusia, kau boleh marah, kau boleh sedih, kau boleh cakap sesuka hati, tapi lawyer tak boleh?? Ajaran songsang mana kau belajar ni? 

Macam ni lah kan.. Kalau klien tu sememangnya berperangai elok, tidak menjengkelkan, mustahil dia akan dimarahi oleh peguam. Mustahil. Kalau dia seorang yang dengar kata, ikut arahan dan nasihat dengan baik, tidak buat perkara yang entah apa-apa sesuka hati tanpa mengikut nasihat, aku rasa bukan sahaja lawyer, hakim dan opponent kau pun tak kan marah dan senang untuk buat kerja! 

Kadang-kadang, kita bukan nak kurang ajar tanpa sebab. Tinggi suara tanpa sebab dan sebagainya. Macam yang aku cakap dari awal kata tadi, kesabaran seseorang itu ada had dan batasnya. Sometimes, you have to be rude to those people who disrespect you. They deserve to be treated like that. Otherwise you will not be able to handle your case properly because of the unnecessary and negative attitude of your own client. I won't be able to tolerate with these kind of people. Come on. Enough with bullshit! 

Salaam. 

6 Mac 2017

Assalamualaikum,


6 haribulan Mac 2017.

Saat di mana aku rasakan dunia ini hancur, segala isi alam bergoncang.. Rasa seperti mahu mati. Kaki terasa tidak terjejak di tanah. Akan aku ingat hari ini. Tarikh ini. Sampai mati. Seperti matinya hati ini, pada hari ini. 

Selamat tinggal segala kenangan.

Friday, February 24, 2017

Apa saja yang kau rasa.

Assalamualaikum,


Kau dah buat keputusan. Pernah buat keputusan. Kau tekad dengan keputusan tu. Kau rasa itu adalah jalan yang terbaik untuk kau. Keputusan yang akan mengubah hidup kau. 

Kau yakin dengan keputusan tu. Pada mulanya. Kau rasa akan ada tangan-tangan yang bersedia untuk membantu kau bilamana kau memerlukan. Kau rasalah. Kau rasa, bila kau memerlukan, sangat memerlukan, akan ada yang sudi membantu, akan ada seseorang di sisi. Semua itu, kau rasa. Pada mulanya. 

Kemudian, hilang...

Semua tu hilang... Kau dah tak rasa ada yang akan membantu. Kau dah tak rasa akan ada yang bersedia di sisi. Kau rasa hampa. Kecewa. 

Keputusan yang pernah kau buat tu... Kau dah lupa. Bukan, bukan lupa. Tapi kau dah tak tahu nak pergi mana. Kau rasa dah tak menentu. Kau rasa sakit.

Apa yang kau perlu buat, kau rasa.. Kau tak nak teruskan. Kau rasa "demotivated". Hopeless in that sense.

Aishhh. Takpelah. Apa yang kau "rasa" sekarang, dah tak penting pun. Tak penting lagi. Biarlah. At the end of the day, it's just you.

Apa yang kau rasa tu, semua dah jadi "bullshit".

Decision? Boleh blah.

Sunday, February 5, 2017

Apa saja lah.

Assalamualaikum,

Gelak ketawa itu tidak mampu lagi menenangkan hatinya yang berkecamuk, seperti dipukul ombak yang kian mengganas tatkala tibanya musim tengkujuh. Semakin kuat angin, semakin deras ombak, semakin tinggi ia menggila.. Dan akhirnya, menghempas pasir pantai..

Telah aku cuba untuk senyum, senyum selagi upaya. Seakan ianya boleh menyembunyikan segala duka dan lara. Seakan senyum itu bisa mencairkan mata yang melihat, sedang hati hancur berkecai. 

Ingin saja aku berteriak di saat ini, menjerit dan menghempas seperti ombak. Agar semua tahu, semua rasa, semua takut.. Agar semua mengerti dan rasai apa yang hati ini rasa. Apa yang jiwa ini tanggung. 

Puas sudah aku menangis, cuba untuk menenangkan hati.. Orang kata, menangislah sepuasnya, agar kau bisa kembali tenang seperti sedia kala. Ah, gila. Bagaimana hati kau boleh tenang dengan menangis? Sedangkan dengan ketawa pun kau tidak bisa mengembalikan kebahagiaan itu, inikan pula dengan menangis? 

Cuba. Cuba buat sesuatu yang bisa mengembalikan keriangan, kenikmatan hidup dan kebahagiaan. Kita kena cari semua tu. Kita tak boleh biarkan diri kita dibelenggu dengan kesedihan dan kegusaran. Ahhhh. Merepek lah kau orang semua. Boleh pergi jauh dari aku tak? 

Aku nak pergi. Kalau aku pergi, jangan cari. 

5 Februari.

Assalamualaikum,







5 Februari.. Ada apa dengan 5 Februari?
Hari kelahiran seorang Ilyani.
Dan dia kini bersendiri.
Melayari angan-angan dan impian yang tidak pasti.
Bersama airmata dan duka yang mengiringi setiap kali..
Sendiri dan sepi...

Selamat hari lahir, Ilyani.




Sunday, January 1, 2017

Selamat datang 2017

Assalamualaikum,


Tahun baru..
Tahun 2017. Selamat datang.
Alhamdulillah. Masih lagi seperti ini.
Mengharap sesuatu yang tidak pasti,
Masih lagi tercari-cari,
Alasan untuk tidak menangis lagi..

Yang dah berlalu biarkan berlalu,
Ia tidak akan mungkin berulang kembali,
Jangan pernah mengharap sesuatu yang tak pasti,
Seperti mengharap bintang jatuh ke bumi..

Yang pasti,
Hidup mesti diteruskan,
Walau sukar, walau sedih, walau penuh dengan ranjau dan onak duri,
Cuma kali ini,
Ia tanpa hati,
Ia tanpa nilai suci,
Ia tidak lagi seperti sebelum ini..

Semoga tahun ini akan jadi permulaan untuk sesuatu yang baru. Sesuatu yang boleh memberi aku semangat, untuk terus hidup dan menikmati hidup, yang sebenarnya. Semoga aku akan beroleh kekuatan itu semula. Kekuatan yang dah lama pudar di bawa angin.. InsyaAllah..

Selamat datang, 2017!

Rapuh

Assalamualaikum,


Dahan yang dulunya kuat,
Akar yang dulunya hidup,
Daun yang menghijau kekuningan, lebat,
Bunga-bunga yang didukung ranting.. Tegap,
Berwarna-warni, bersinar bagai permata tatkala disirami oleh cahaya..
Kini rapuh..
Pudar..
Tidak bermaya..
Tidak berseri..
Hanya menunggu mati..

Begitulah diibaratkan hati ini,
Jiwa ini,
Cebisannya kian dimamah oleh luka,
Semakin hari, semakin ia mati,
Semakin ia pudar,
Di bawa angin, di bawa hujan,
Sehingga tiada apa yang tinggal untuk dinikmati,
Hari demi hari..

Kadang dia tertanya,
Mengapa mesti dia terluka,
Mengapa mesti dia yang merasa,
Adakah kerana dosa-dosanya yang lama?

Kadang dia mengharap,
Semuanya akan kembali seperti biasa,
Semuanya akan bersinar seperti cahaya,
Agar dia bisa merasa,
Bagaimana nikmatnya cinta.

Tapi itu semua dusta,
Dia tidak layak untuk merasa,
Segala apa yang diangankan jiwa,
Hanya kekal di lubuk sana.. Yang jauh, sejauhnya..

Dia pasti suatu hari nanti,
Dia akan temui cinta sejati,
Walau itu cuma dalam mimpi..

Daun-daun yang gugur itu,
Ibarat cebisan hati yang ranap,
Hancur, tak mampu untuk diselamatkan,
Dibiarkan ia ditiup angin,
Tak mampu lagi untuk dikutip,
Untuk disambung agar ia nampak cantik,
Hanya mampu dilihat.
Dibiarkan ia pergi.. Dibiarkan ia dibawa angin,
Berlalu pergi.. Takkan kembali..