Tuesday, May 16, 2017

Rajuk

Assalamualaikum,


Salahkah kalau merajuk untuk seketika? Rajuk yang manja. Bukan rajuk yang berdendam. Cuma inginkan perhatian. Perhatian yang telah lama diabaikan.. Salahkah?

Tapi... siapalah dia untuk layak meminta minta perhatian sebegitu rupa? Dia bukan siapa-siapa... Dia cuma diperlukan apabila mereka memerlukan. Dan dia cuma akan diberi perhatian kalau dia bersungguh sungguh menagih kasih dari mereka. Nak kata merajuk? Langsung tak boleh. Nak kata mengadu? Jauh sekali..

Dan kerana itulah, dia lebih suka menyendiri. Menyimpa segala isi hati. Hendak diluah, jauh sekali. Malah, sukar baginya untuk mengadu apabila mereka sepertinya enggan mendengar. Ya, ada lagi cerita yang lebih seronok untuk didengar, tapi bukan sekali mengenai dia, dan apa yang dia rasa. Dia hanya menjadi tempat melepaskan rasa kecewa, dendam, marah dan sedih mereka.. Dan akhirnya, dia simpan semua...

Kadang-kadang dia ketawa sendirian. Bertubi-tubi aduan yang diterima. Hal itulah, hal inilah. Marah itulah, marah inilah. Macam-macam. Dan dia hanya mendengar dengan penuh setia tanpa sedikitpun dia menghalang mereka daripada berbicara..

Tapi, mengapa dia tidak diberikan layanan yang serupa? Mengapa apabila tiba saatnya, dia seperti diabaikan sedemikian rupa? Dia cuba untuk berfikir secara positif. Mungkin kerana dia seorang yang dilihat paling tabah dan tidak bermasalah dalam kalangan mereka, maka sebab itulah mereka rasa dia tidak punya duka. 

Tapi, mengapa tiada seorang pun dari mereka yang bertanya? Kerana, jika mereka bertanya, sudah pasti dia akan bercerita sepenuh hatinya.. Segala duka, luka dan sengsara akan dia luahkan, kerana pada dia... Mereka adalah darah dagingnya.. 

Tak mengapa.. Dia sudah biasa. Sekali lagi, dan untuk selamanya.. Segalanya hanya dibiar ditanam jauh-jauh dalam sudut hati agar suatu hari nanti, apabila dia sudah pergi, kehilangannya tidak dirindui, malah tidak diingati...




Sunday, May 7, 2017

Hanyut

Assalamualaikum,


Jenuh dia berfikir. Kadang kala dia bercakap sendirian sambil tangan memegang kotak putih. Jenuh dia cuba menepis segala macam hasutan dan kata-kata yang memujuknya melakukan itu dan ini. Untuk sedapkan hatinya, dia pejam mata. Dia bayangkan yang indah-indah belaka. Laut, contohnya... Dan dia cuba merasai dan menikmati pemandangan yang berada di dalam bayangannya. Cantik...

Macam mimpi... Semuanya secara tiba-tiba. Aneh. Seperti cuba melepaskan sesuatu yang terbuku selama ini. Seperti juga, mencurahkan sesuatu.. Rasa mungkin? Rasa yang sekian lama terpendam. Atau mungkin, rindu? 

Mana mungkin semuanya berlaku dalam sekelip mata. 

Yang pasti, dia hanyut di dalam bayangan yang kini bermain dimindanya... Walau dia tahu, itu cuma angan-angan... Atau khayalan... Atau permainan... Semuanya makin tidak pasti. Namun dia merelakan hatinya, kerana dia leka dalam bayangan... Hanya dia, laut dan kotak putih...