Assalamualaikum,
Sudah sepuluh hari dia menjalani ibadah puasa bersendiri. Alahai, apalah sangat.. Itupun nak jadi isu ke? Ya. Sememangnya ia satu isu yang rumit. Kerana dia tidak ingin bersendiri. Hakikatnya, jauh di sudut hati, dia tidak ingin bersendiri. Demi Allah. Dia sangat berduka setiap kali tibanya waktu berbuka puasa. Sangat berduka. Sangat sakit. Ya, ini cuma ujian. Cuma sementara. Dan dia akan laluinya seperti biasa. Tapi, mengapa, masih begitu?
Di saat semua orang disekelilingnya bersama keluarga, meraikan waktu yang amat berharga, mengapa dia sendiri? Hanya melihat, dengan rasa cemburu, sedih dan bingung. Alangkah bahagianya mereka. Alangkah seronoknya menikmati waktu-waktu yang ada bersama yang tersayang. Alahai... Kenapa mesti berduka wahai hati?
Dia rindu. Amat rindu. Waktu-waktu berterawikh. Waktu-waktu berebut-rebut mengambil wuduk, mengejar waktu Solat Isyak.. Duduk berteleku di atas sejadah bersama-sama umat yang lain. Memandang tubuh di hadapannya. Sayu hati. Damai hati melihatnya. Dia rindu. Amat rindu. Pernah suatu ketika dulu, ketika dia sedang solat berjemaah, menunggu waktu Isyak, dilihatnya sesusuk tubuh di hadapannya sedang menunaikan solat.. Berdebar-debar rasa dalam hatinya.. Terdetik dalam hati dan berkata "itukah jodoh"?
Kini, dia hanya dapat melihat, melihat semua yang ada di hadapan matanya, sambil menitiskan airmata.. Bingung memikirkan apa yang telah terjadi. Seperti kehilangan sesuatu yang amat mahal. Sayangnya dia tidak dapat berbuat apa-apa.. Dia lemah. Dia tidak berdaya.. Dia hanya mampu berkata "semua ini hanya sementara".. Ya, hanya sementara..
Menangis lagi. Entah ke berapa kali.