Sampai suatu saat, kau akan terduduk. Termenung. Menangis. Fikiran kau kosong. Kau rasa lemah. Tak berdaya untuk bangun. Ketika itu, jiwa kau disuapkan dengan cerita-cerita tentang kejayaan orang lain, kebahagiaan orang lain. Jiwa kau lemah, semakin remuk, seakan-akan direnyuk seperti sehelai kertas draf yang tidak diperlukan lagi dan hanya menunggu masa untuk dibuang. Kau diam. Kau dengar betapa bahagianya orang itu. betapa gembiranya orang itu yang kini mengecap kejayaan demi kejayaan. Kau seperti manusia bisu. Mata terpaku melihat setiap bait kata-kata yang menggerakkan bibir orang yang berada di hadapan kau.
Semakin lama, semakin kau lemah. Kau rasa terhina. Kau rasa kau telah gagal menjadi diri kau sendiri. Tiada lagi dahan yang kuat untuk kau menahan beban, yang kian lama, kian memberat. Kian menyakitkan bahu. Kau tahu, tiada lagi yang akan membantu. Kerana, semua sedang membisu tatkala kau berada dalam kesakitan. Kesusahan.
Kau menangis, dan terus menangis. Otak kau sakit. Mata kau pedih. Kesesakan di dada kian meruncing. Kesedihan yang bersarang, kini hampir menutupi sisa-sisa cahaya. Ingin sekali kau ambil cahaya itu, namun semakin kau cuba menghampirinya, semakin jauh ia pergi. Semakin pudar, semakin gelap. Tinggallah kau di dalam kegelapan. Yang memakan jiwa dan sanubari kau.
Benci. Benci tatkala melihat orang lain bahagia. Benci tatkala melihat orang lain asyik dengan keseronokan, sedangkan kau kini dalam kesakitan. Benci itu sifat syaitan. Kau rasa, kau sama dengan syaitan? Tak tahu! Jangan tanya soalan yang aku sendiri butuh jawapan!
Mana perginya semangat yang sejak sekian lama kau pegang? Mana? Hancur! Semuanya telah hancur. Hati kau remuk. Jiwa kau kosong. Kau sesat. Kau perlukan bantuan. Kau perlukan bantuan untuk menenangkan jiwa kau yang kian mati itu. Semakin kau pendam, semakin ia sakit. Semakin ia mati. Sampai bila???
Sampai bila kau harus menanggung semua kesengsaraan ini? Sampai bila kau harus membiarkan orang lain memijak henyak kau seperti kertas draf yang kotor? Sampai bila kau harus membiarkan hati kau disiat-siat, sedangkan si penyiat tidak merasa apa. Kau semakin menjunam ke bawah, sedangkan dia semakin meninggi di atas. Kau semakin hancur seperti debu, sedangkan dia semakin kental seperti besi.
Sampai bila.. Kau harus menipu satu dunia.. Dengan senyumanmu itu.. Sampai bila?

No comments:
Post a Comment